RPH - Makanan Berkhasiat

Rancangan Pengajaran Harian 1:

Hari : Isnin                              Tarikh : 4 April 2011                           
Tahun : 2A                              Bil Pelajar : 29 orang
Mata pelajaran :  Bahasa Melayu
Tema : Unit 4: Badan Sihat Minda Cergas
Tajuk : Makanan untuk kesihatan
Hasil pembelajaran : Pada akhir pembelajaran, murid-murid dapat :
                                                                            i.            Menamakan makanan untuk kesihatan.
                                                                          ii.            Mengelaskan makanan berkhasiat mengikut kategori masing-masing.
Sistem Bahasa : Kata Nama
Kaedah pembelajaran : Pembelajaran konstektual dan  Pembelajaran konstruktivisme
Alat Bantu Mengajar : Buku teks, pen maker, MS power point, papan putih, my CD
Nilai : Menjaga kesihatan diri
KBKK : Menghubung kait
Pengetahuan sedia ada : Muird-murid menyatakan bahawa makanan penting untuk tumbesaran.

Langkah / masa
Aktiviti Pembelajaran dan pengajaran
Catatan
Set Induksi
( 5 minit )
1.      Guru menayangkan lagu ‘makanan berkhasiat’ dengan MS Power Point.
2.      Guru membimbing murid menyanyikan lagu tersebut berlirikan lagu ‘London Bridge is falling down’.

Lagu Makanan Berkhasiat
Makan sayur dan ikan,
Buah-buahan dan telur,
Makan makanan berkhasiat,
baik untuk kesihatan.

3.      Guru bertanya kepada murid.
     a. Adakah lagu ini sedap?
     b. Adakah makanan kegemaran
         kamu terdapat dalam lagu yang
         kamu nyanyi tadi?
4.  Guru memberitahu kelas bahawa
     tajuk yang disampaikan pada hari ini
     ialah ’Makanan Untuk Kesihatan’.


Strategi/ Teknik:
Penyoalan seluruh kelas menggunakan lagu.
BBM : MS Power Point
Langkah 1
(5 minit)
1.      Guru meminta murid-murid merujuk buku teks pada muka surat 30.
2.      Guru meminta murid meneliti gambar dan menamakan makanan yang terdapat dalam gambar.
3.      Guru membimbing murid semasa murid memberi jawapan dan menyimpulkan bahawa makanan yang disebut tadi mempunyai khasiat.

Strategi: Kontekstual dan konstruktivisme.
BBM: Buku teks
Langkah 2
(5minit)
1.   Guru memberitahu murid bahawa makanan boleh dikelaskan mengikut kategori masing-masing.
2.   Guru memberi nama kategori makanan, iaitu protein, karbohidrat, vitamin dan zat galian serta contoh-contohnya.
3.   Guru menerangkan fungsi kategori makanan kepada murid.
4.   Guru meminta murid memberi contoh-contoh yang lain berdasarkan kategori makanan masing-masing.
Strategi: Kontekstual dan konstruktivisme.
BBM: Buku teks
Langkah 3
(10minit)
1.      Guru membahagikan murid-murid kepada 5 kumpulan
2.      Guru mengedarkan kad imbasan nama makanan kepada murid.
3.      Setiap kumpulan akan menerima kad imbasan nama makanan yang berlainan.
4.      Guru menulis nama kategori makanan iaitu protein, karbohidrat, vitamin dan zat galian di atas papan putih.
5.      Guru mengarahkan murid mengelaskan makanan mengikut kategori makanan berdasarkan kad imbasan.
6.   Guru meminta setiap kumpulan 
      membuat pembentangan.
Strategi/ Teknik:
Perbincangan kumpulan
BBM : Kad  imbasan, papan putih, pen marker
Penutup
(5minit)
1.      Guru menafsir kefahaman murid dengan menjalankan sesi soal-jawab.
a. Apakah itu makanan berkhasiat?
b. Makanan boleh dibahagikan kepada berapa kategori?
c. Apakah kategori itu?
d. Mengapakah kita perlu makan makanan seimbang?
2.   Guru membuat kesimpulan.

Strategi: Penyoalan
BBM: Lembaran kerja


REFLEKSI
Setelah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran ini, saya mendapati objektif pengajaran yang dihasratkan keseluruhannya memuaskan, sebanyak 16 daripada 20 orang murid dapat menguasai pengetahuan serta kemahiran yang diajar iaitu menamakan makanan berkhasiat dan mengelaskan makanan berkhasiat mengikut kategori. Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan yang perlu diperbaiki dalam p&p tersebut untuk penambahbaikan bagi sesi pengajaran seterusnya.

Kekuatan
Pada fasa 1 proses p&p, aktiviti nyanyian yang saya gunakan dalam set induksi memang menarik dan berjaya memikat hati murid. Saya berjaya menjalin pengetahuan sedia ada murid dalam aktiviti menyanyi. Saya menggunakan lirik lagu “ London Bridge Is Falling Down ” yang murid telah belajar pada waktu Pendidikan Muzik. Set induksi saya juga dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan memberangsangkan. Oleh itu, penglibatan murid adalah aktif. Set induksi yang sesuai dan menarik memudahkan saya menghubungkaitkan tajuk pelajaran yang diajar dengan jayanya.Tambahan pula, bahan bantu mengajar yang dipaparkan iaitu seni kata lagu “London Bridge Is Falling Down” sungguh memikat hati murid. Kad seni kata lagu yang berwarna-warni dan penuh dengan ilustrasi memang memberangsangkan murid dan seterusnya membarakan niat belajar mereka.
Pada fasa 2 pula, guru berjaya menyampaikan  isi kandungan pelajaran iaitu menamakan makanan yang baik untuk kesihatan dengan berpandukan gambar yang terdapat dalam buku teks. Didapati murid-murid aktif memberi respon kepada guru.Ini kerana gambar makanan yang ditelitikan oleh mereka merupakan pengetahuan yang sedia ada pada mereka. Murid mudah menyebutkan nama makanan seperti telur, ikan, ayam, nanas, tauhu dan sebagainya.
Aktiviti yang dijalankan pada fasa 3 ialah mengenai makanan seimbang iaitu kategori makanan dan fungsi masing-masing.Penerangan saya  jelas dan menarik . Saya  dapat memberikan contoh-contoh makanan seperti epal, ikan, susu,nasi, sawi yang berkaitan dengan pengalaman murid. Dengan bimbingan saya, didapati murid-murid juga dapat memberi contoh-contoh makanan mengikut kategori makanan.
Pada fasa 4 pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kumpulan telah dijalankan dengan jayanya. Murid-murid dapat mengelaskan makanan berkhasiat mengikut kategori masing-masing. Saya berjaya bertindak sebagai fasilitator.  Semasa aktiviti dijalankan, murid telah menunjukkan semangat kerjasama  dan tolong-menolong. Masa yang diperuntukkan untuk sesi ini mencukupi dan murid sempat membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing. Tulisan yang ditulis di atas kad imbasan jelas dan cukup besar. Aktiviti ini sungguh menyeronokkan murid kerana sesi ini merupakan aktiviti yang berpusatkan murid .
Pada fasa terakhir iaitu sesi penutup, kaedah yang saya gunakan ialah sesi soal jawab untuk mengukuhkan pengetahuan dan kefahaman murid tentang makanan yang berkhasiat. Murid dapat membalas soalan yang dikemukakan.Ini menandakan saya berjaya menyampaikan isi pelajaran kepada murid seperti mana yang dihasratkan.

Kelemahan
Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya. Dalam pelaksanaan rancangan pengajaran saya ini, saya tidak menggunakan kemahiran ICT. Saya banyak menggunakan buku teks semasa sesi penerangan. Di samping itu, dalam pemerhatian saya semasa aktiviti kumpulan, terdapat beberapa orang murid yang agak pasif kurang berminat untuk menyertai aktiviti yang dilangsungkan. Ini mungkin disebabkan tahap kebolehan mereka rendah. Mereka bimbang akan jawapan yang disumbangkan tidak tepat dan justeru itu diejek oleh rakan .

 Cara-cara Mengatasi
Untuk menambahbaikan pengajaran dan pembelajaran saya, saya perlu memberi peneguhan positif seperti kata-kata pujian kepada murid yang pasif untuk menggalakkan mereka menyertai aktiviti dan menyakinkan mereka semasa memberi jawapan atau respon. Jika mereka memberi jawapan yang kurang tepat, saya perlu memperbetulkan jawapan mereka dengan segera dan seterusnya membimbing mereka memberikan jawapan yang sesuai dan tepat. Ini dapat menambahkan keyakinan mereka.
Di samping itu, dalam sesi penerangan, saya patut menggunakan Ms Power Point untuk menerangkan contoh kategori makanan dan fungsinya. Ini kerana paparan Ms Power Point yang berupa animasi adalah lebih menarik berbanding dengan gambar rajah yang statik dalam buku teks. Lebih-lebih lagi paparan yang ditayangkan juga berwarna dan bukan hitam putih atau warna yang pudar. Dengan bantuan teknologi ICT ini,  pasti murid lebih cenderung untuk belajar dan minat belajar mereka dapat dikekalkan sehingga sesi akhir pengajaran dan pembelajaran. 

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran saya ini memuaskan kerana langkah-langkah pengajaran yang dijalankan dapat menumpukan perhatian murid terhadap pelajaran yang disampaikan dan seterusnya menimbulkan minat belajar mereka. Selepas pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,hasil pembelajaran yang dihasratkan telah dicapai.